OGOS 2023

Biomas Agrikomoditi Jana Pendapatan Baharu


MIRI: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang menyelaras dan membangunkan Pelan Tindakan Biomas Kebangsaan 2022-2025 yang meliputi biomas dari ladang, perhutanan, pertanian, penternakan dan perikanan, kata Timbalan Perdana Menteri.

Dato Sri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pemprosesan dan penggunaan biomas daripada agrikomoditi secara sistematik untuk produk bernilai komersial akan menjana pendapatan baharu dan mentransformasikan rantaian ekonomi industri kelapa sawit.

Ia juga akan mewujudkan ekonomi sekular yang membantu mengurangkan penebangan hutan dan perlepasan karbon, katanya merasmikan Persidangan dan Pemaran Teknologi Pengilangan Kelapa Sawit (POMtec) di sini.

Menurut Fadillah, industri kelapa sawit sekarang berhadapan dengan cabaran dan konflik geopolitik sehingga menyebabkan gangguan dan kempen negatif terhadap agrikomoditi negara,

Beliau berkata, minyak sawit adalah tunggak penting sektor agrikomoditi Malaysia dengan menyediakan peluang pekerjaan dan penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK).

Ekonomi Malaysia yang berkembang pada kadar 5.6% dalam suku pertama 2023 dengan menyaksikan peningkatkan 5% dalam sektor minyak sawit daripada RM9.5 bilion dalam suku pertama 2022 kepada RM10 bilion dalam suku pertama 2023, katanya.

Fadillah berkata, Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang diperkenalkan oleh EU bertujuan menjamin penggunaan dan kegunaan produk tidak menyumbang kepada penebangan hutan dan menggalakkan kelestarian penggunaan produk di Eropah.

Peraturan EUDR itu, katanya, boleh menjadi penghalang kepada perdagangan yang memerlukan peraturan lebih ketat terhadap import agrikomoditi ke pasaran Eropah.

KPK, tegas beliau, memandang berat terhadap perkara itu dan sedang berbincang secara kolektif dengan pihak terjejas untuk menyelaraskan komitmen dalam mempermudahakan usaha negara memerangi kempen penebangan hutan dan mengeluarkan Malaysia diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi.

Dalam pada itu, kata Fadillah, KPK juga berbincang melalui inisiatif Pasukan Petugas Bersama antara Malaysia, Indonesia dan EU mengenai pelaksanaan EUDR serta secara proaktif menangani peraturan itu untuk memelihara akses pasaran dan melindungi reputasi hubungan dagangan mampan negara.

Pasukan Petugas Bersama itu akan berusaha mendapat pengiktirafan EU bagi Skim Pensijilan MSPO dan pensijilan berkaitan negara lain, katanya.

Pengiktirafan Skim Pensijilan oleh peraturan EUDR, katanya, membolehkan Malaysia memberi jaminan amalan bertanggungjawab dalam industri dan menjamin kedudukan di pasaran Eropah sambal komited bagi pengeluaran minyak sawit secara mampan pada peringkat global.

Beliau berharap persidangan POMtec itu mendedahkan kepentingan amalan pengoperasian minyak sawit mampan dan teknologi terkini yang memupuk kelestarian iaitu pemprosesan mesra alam, pengurangan sisa buangan dan kecekapan tenaga.

Hadir sama Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Timbalan Ketua Setiausaha KPK, Eric Kiu Kwong Seng, Pengerusi Persatuan Pemilik Ladang Sawit Sarawak (SOPPOA), Dr. Felix Moh Mee Ho dan Ketua Pegawai Eksekutif SOPPOA, Tian Foon Howe.

Sumber dari : Jiwa Bakti